Sahabat Ke Syurga
Karya: Rafi Harumin
Titis-titis air yang sejak tadinya bermanik menghiasi dedaunan kini mulai menitik jatuh ke tanah. Ketika ini, ranah yang basah sedang berkongsi satu bumi dengan kawanan lopak yang sebahagiannya mulai mengalirkan air setelah beberapa lama ditakung. Ia mengalir melalui aliran yang terbentuk secara semulajadi kesan hujan lebat yang baru berakhir tadi.
Di kawasan beranda, Naim bersama tiga orang rakannya sedang berdudukan menikmati kopi yang dihidang bersama biskut kering. Itulah kombinasi terbaik sebagai bahan penghias minuman. Tidak perlulah memikirkan tentang sedap kerana gandingan itu sahaja sudah cukup membangkitkan selera.
Empat sahabat tadi masing-masing sedang berdiam. Masing-masing juga dengan gelagat sendiri. Ada yang mencicip kopi, ada yang sedang mematahkan biskut, ada pula yang merendamnya di dalam kopi sebelum dimakan. Perlakuan yang tanpa dirancang menjadi berurutan mengikut garis aturan.
Setitik air dari atap zink telah jatuh dan Hadi sempat menyambutnya. Maka memecahlah ia di telapak tangan lalu terzahir pula percikan kecil yang menitis ke mana-mana. Pada ketika itulah juga Hadi memecah jeda lalu bersuara, “Alhamdulillah, setinggi kesyukuran kepada-Nya. Walaupun pada mulanya hujan turun dengan lebat ia langsung tidak mengganggu urusan pengkebumian jenazah, tidak juga berlaku sebarang masalah.”
Kedengaran suara lain turut menyahut mengucapkan lafaz kesyukuran.
“Seperkara lagi, aku perasan yang semasa jenazah arwah masih lagi di rumahnya, ketika itu hujan memang sedang melebat. Anehnya, ketika mulai mengusung jenazah keluar dari rumah, menjalankan upacara pengkebumian dan talkin, hujan langsung berhenti,” Sahut Rudi sambil dia menuang lagi kopi memenuhi cawan.
Kata-kata itu disambut lagi dengan angguk, mengiakan perkara yang telah dialami.
Hadi menambah, “Lebih memberikan sesuatu sebagai renungan, hujan lebat itu bersambung semula setelah kita masing-masing habis berpulangan.”
Naim mencelah, “Aku juga memikirkan perkara yang sama sejak dalam perjalanan ke sini tadi. Hendak dikatakan pelik, boleh jadi juga tetapi bukankah ini semua aturan daripada-Nya?”
Abdul yang sejak tadi hanya mengangguk langsung bersuara, “Perihal yang kalian ceritakan juga merupakan perkara yang aku sedang fikirkan. Barangkali ada sesuatu yang Tuhan hendak tunjukkan kepada kita mengenai arwah.”
“Amran, kenangan bersamanya tidak akan aku lupakan,” Sambung Rudi.
Mereka berdiam lagi, Rudi sambil terkumat-kami masih sempat menambah air kopi. Ternyata dia merupakan seorang pengopi tegar. Naim ikut sama menuang. Abdul tidak berbuat apa-apa manakala Hadi tetap dengan duduknya di sana melayan titisan air dari zink. Jiwanya bagaikan sedang berbicara dengan saki-baki air hujan yang belum sempat mencium permukaan tanah, tempat kembalinya manusia setelah jasad berpisah dari nyawa.
“Serius, aku tetap menganggap Amran masih ada! Naim, cuba kau tampar pipi ini, aku sedang bermimpi sekarang ini, bukankah begitu?”
Rudi dengan kedua tangannya sedang menggoncang bahu Naim yang duduk di sebelah, bersungguh-sungguh untuk kononnya disedarkan dari mimpi buruk. Naim menggeleng dan mengeluh, ditepisnya lengan Rudi sambil dia sendiri mulai mengesat mata.
“Sebentarlah, mata aku pedih masuk habuk!” Jawabnya penuh dalih.
Abdul berpaling dari tempat asalnya. Dalam diam dia sendiri curi-curi mengesat mata. Hadi tidak kurang perlakuan. Basah sisa titisan hujan di telapak tangan langsung diusap ke wajahnya, dibasahkan ke seluruh permukaan, berulang kali dan dilebihkan di bahagian mata. Rudi yang paling berterus-terang membiarkan sahaja empangan matanya pecah. Sedu-sedan mengisi aliran air mata. Ternyata, dalam banyak hal dialah yang biasanya mendahului dalam melakukan, setelah itu barulah dituruti oleh rakan-rakan yang lain.
Tidak lama kemudian Abdul yang tadinya beralih posisi kembali ke kedudukan asal lalu membuka cerita, “Aku ini sangatlah rapat dengan Amran. Dalam kebanyakan waktu, kisah hati ke hati kami selalu berkongsi bersama. Ya, kami sangat dekat.”
Langsung Hadi menoleh, “Kau sahajakah? Aku dengan Amran apa kurangnya? Apa kalian telah lupa bahawa aku dengan arwah pernah tinggal bersama? Nah, tentu-tentunya cerita yang aku kongsikan bersamanya lebih banyak!”
Seketika, dua orang yang berbalas kenangan sebentar tadi terus berpandangan. Masing-masing saling merenung tanpa berkedip, tanpa bersuara, umpamanya ada sesuatu yang mahu dipertahankan.
‘Jadi, itu sahajakah yang kamu berdua ada untuk dibangga dan dikongsikan?”
Mata-mata yang saling bertentang tadi terganggu dek celahan suara seseorang. Rudi. Ya, Rudi sudah memecah kebuntuan. Dengan suara yang sedikit menempik sebenarnya yang membuatkan Hadi dan Abdul kaget. Mereka kini bertukar perlakuan apabila masing-masing pula memandang ke arah Rudi yang kelihatan seperti sudah tidak sabar mahu meluahkan sesuatu.
“Tidak perlu kalian hendak bermegah, aku sendiri punya pengalaman indah bersama arwah untuk dikenang. Kisah yang ini mungkin kamu semua belum mengetahuinya. Setahun yang lalu, selepas hari raya, Amran sendiri telah berjumpa dengan aku atas tujuan mahu memeriksa hasil karangan yang aku tulis. Sepuluh halaman, setiap helaian diperiksanya dengan teliti berserta komen yang membina...”
“Itu sahajakah?” Serentak dua orang tadi memotong.
Merah wajah Rudi apabila kisahnya bagaikan sekadar kenangan biasa-biasa. Dia menjawab, “Itu sahaja sudah cukup bagus. Terbaik pula, karya yang diperiksa itu menang dalam pertandingan yang disertai. Semua itu atas tunjuk ajar arwah Amran, rakan penulis kita!”
Hadi mencebik, “Karyamu menang setelah diubahsuai oleh arwah.”
“Tidak, itu tidak bagus...” Abdul semakin memanaskan keadaan. Geleng-geleng sekali dua yang dilakukannya sangat menjengkelkan.
Kedengaran dengusan keras daripada Rudi. Matanya kini sama merah dengan wajah yang sejak tadi memang menyala. Terlihat juga dadanya berombak-ombak ditekan oleh nafas, angin-angin kemarahan.
“Dengar sini, hasil tulisanku telah dibaca oleh arwah Amran sepenuhnya. Bukan sekali imbas, tidak juga sekadar membaca awal perenggan, tengah dan penghabisan. Setiap halaman, beliau teliti lalu menurutnya cerpen aku siap untuk dipertandingkan. Hanya sahaja ada beberapa bahagian yang ditegur dan diberikan cadangan sebagai penambahbaikan. Tetap karyaku dan ia menang. Apa masalahnya dengan kamu?”
Senyap seketika.
“Dengki?” Rudi menambah lagi.
Habis berkata, Rudi menghembus nafas sepanjang-panjangnya yang ditarik dalam-dalam bagaikan mahu melepaskan beban geram akibat diperlekehkan. Abdul senyap, Hadi turut berdiam, Rudi apatah lagi. Dia kelihatan penat seteah berusaha menyeimbangkan antara amarah dengan perbincangan bersama sahabat. Dalam masa yang sama masih tidak mahu dilihat kurang berbanding yang lain.
Tiba-tiba Naim berdiri, menuju ke bilik. Beberapa minit kemudian dia keluar semula membawa beberapa keping gambar dan sebuah buku nota. Duduk semula, Naim yang membisu sambil memerhatikan debat tiga serangkai tadi kini mengambil giliran menyampaikan hujahnya.
“Baiklah, kalian sudah puas berbanding-banding bukan? Atas dasar sahabat dan juga tuan rumah, tibalah giliranku untuk bersuara. Amran, sahabat kita baru sebentar tadi dikebumikan dan kini menjadi penghuni barzakh, pergi meninggalkan kita yang masih bernyawa.”
“Sepatutnya pemergian sahabat kita yang baru sebentar tadi berlaku itu kita hormati, bukannya dijadikan bahan pertelagahan.”
Tiga serangkai itu mengangguk. Naim berdehem lalu berkata lagi, “Sepertimana yang kita tahu, Amran berpengetahuan luas dalam hal ehwal penulisan dan bahasa. Kita berempat pula pernah berguru dengannya. Apapun, aku mahu kamu semua lihat gambar-gambar ini, semuanya gambar semasa aku menyertai arwah ke majlis dialog berkaitan penulisan. Arwah merupakan antara panelnya. Gambar yang ini pula semasa arwah menerima anugerah sastera. Yang lain kalian lihat sendiri dan nilaikan.”
Rudi, Abdul dan Hadi bersama-sama menatap gambar yang diberikan. Rudi paling ketara riak terujanya. Dia melopong tatkala melihat satu persatu gambar, terutamanya gambar Naim bersama Amran mengangkat sebuah piala. “Mengapa aku langsung tidak tahu mengenai ini?” Soalan Rudi disertai dengan anggukan laju Hadi dan Abdul yang serentak berkata, “Kami juga tertinggal!”
Sederhana balasan Naim, “Hal begini bukanlah suatu keperluan untuk dihebahkan. Sebenarnya aku hanya terlibat sebagai pengiring selain mengambil kesempatan menadah ilmu dan pengalaman. Andai perkara begini sudah dianggap besar, rasanya ada hal lain yang lebih besar berbandingnya. Oleh itu, apa sangatlah yang perlu aku banggakan?
Rudi menunduk seketika. Abdul dan Hadi telah berhenti membelek gambar yang diberi. Ketika ketiga-tiga mereka beralih mata memandang Naim, terbitlah kata-kata seterusnya daripada tuan rumah.
“Beberapa hari sebelum peristiwa hari ini, arwah sempat berpesan kepadaku meminta pesanannya disampaikan juga kepada kalian. Menurutnya, sekiranya kita benar-benar mahu mengikut jejaknya menjadi penulis, teruskan langkah itu, jangan berhenti dan fokuslah kerana hal ini bukannya sesuatu yang sekadar untuk dicuba-cuba. Menulis biarlah serius, fokus dan sebarkan segala hal yang baik-baik sahaja.”
Melungsur pertanyaan daripada Abdul.
“Naim, apa maksudnya dengan menyebarkan segala yang baik-baik sahaja? Bukankah sebagai penulis itu, sekiranya hendak menulis beliau perlu mengetahui banyak perkara? Lebih penting, boleh menulis mengenai semua. Maksud aku, semua jenis cerita?”
Hadi mencelah, Sebentar. Ini pendapatku pula. Tahu banyak perkara itu sesuatu yang penting. Boleh menulis banyak jenis cerita pula merupakan satu kelebihan, tetapi...”
“Tetapi, tidak semestinya boleh menulis semua jenis cerita itu bermakna, halal baginya untuk menulis apa sahaja!” Rudi menyambut bicara Hadi yang tergantung, lantas mereka saling bertentangan dan berbalas senyum.
Naim menyambung lagi, “Begitulah yang diceritakan. Arwah juga ada berkata, bukan tugas seseorang penulis untuk membuka aib ataupun cela seseorang, apatah lagi ia bakal berlanjutan menuju kepada fitnah, caci dan umpatan. Sesungguhnya kita tidak sekali-kali punya hak berbuat begitu.”
“Tulisan-tulisan kita, hendaknya janganlah ia menjadi himpunan risalah menuju ke neraka.”
Rudi menghabiskan ayatnya dengan gelengan yang bertalu-talu.
Abdul terus menadah tangan, Tuhanku, semoga apa yang kami pelajari, akan kami tulis dan sebarkan kebaikannya. Amin, amin...”
Automatik keempat-empat sahabat itu meraup muka, tangan mengusap wajah. Sunyi seketika sebelum Hadi berkata.
“Naim, rasanya tidak pernah Amran menyampaikan pesanan sebegini kepadaku.”
Naim tersenyum, “Barangkali tidak berkesempatan. Tidak mengapalah, apa yang aku sampaikan ini semuanya pun semuanya atas permintaan beliau juga supaya ia sampai buat kita. Sambil itu, ambil peluang ini untuk kita sebarkan kepada yang lain, mudah-mudahan kita mampu mengikut jejak beliau, menjadi sebaik-baik sahabat di dunia dan akhirat.”
“Sahabat sampai ke syurga!” Tiga serangkai itu menyahut.
“Jujur, aku sangat merinduinya,” Ujar Naim.
Bicara mereka berakhir dengan pandangan menghala ke arah pusara...